Saturday 13 August 2011

Keadilan Undang-Undang

Keadilan undang-undang ialah bahawa undang-undang itu dikenakan atau dikuatkuasakan ke atas semua orang secara sama rata tanpa dibezakan di antara yang kaya dengan yang miskin dan tanpa sebarang perbezaan berdasarkan warna kulit, bangsa dan agama, juga tanpa sebarang perbezaan di antara orang yang jahil dengan orang yang terpelajar dan sebagainya. Ini menunjukkan kesemua mereka adalah sama sahaja di hadapan undang-undang, tidak ada unsur lebih melebihi di dalam melaksanakan undang-undang itu di kalangan manusia, kalau pun ada kelebihan, maka itu adalah dari kebaikan perseorangan yang dilakukan oleh seseorang manusia.
Menurut al-marhum Saad Zaglul, kita berbeza antara satu sama lain, tetapi di hadapan undang-undang kita adalah sama sahaja. Kata-kata ini merupakan kesimpulan yang paling baik mengenai pandangan Islam tentang keadilan undang-undang. Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang menjadi khalifah kepada Rasulullah s.a.w., umpamanya lebih mulia dari seorang Arab dusun dari segi budi pekerti dan agama, tetapi beliau di hadapan undang-undang adalah sama sahaja dengan orang Arab dusun itu.
Rasulullah s.a.w. telah menekankan tentang persamaan yang mutlak pada pandangan hukum-hukum syarak. Sabda baginda bermaksud, semua kamu adalah dari keturunan Adam dan Adam Hawa itu dari tanah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas yang bukan Arab kecuali dengan sifat takwa (Riwayat Bukhari dan Muslim). Sabda baginda lagi yang bermaksud, manusia semua adalah sama seperti gigi sikat. Rasulullah s.a.w. mengambil sikap tegas di dalam melaksanakan hukum- hukum syarak dan baginda melarang sama sekali sikap pilih kasih.
Pernah diriwayatkan bahawa seorang wanita dari keturunan Quraisy telah mencuri selepas pembukaan Makkah. Orang Quraisy sangat khuatir sekiranya Rasulullah s.a.w. akan memotong tangannya dan ini sudah tentu akan mencemarkan sekali nama baik suku ini di kalangan bangsa Arab. Orang Quraisy telah mengutus Usamah bin Zaid seorang yang dikasihinya dan anak kepada bekas hambanya yang dimerdekakan. Usamah telah menemui Rasulullah s.a.w. untuk meminta Syufaat' terhadap wanita itu. Lalu baginda berkata kepadanya, apakah kamu meminta syufaat terhadap suatu kesalahan yang dilakukan terhadap Allah? Kemudian baginda berdiri di hadapan orang ramai sambil memberi ucapan, katanya, Apa halnya dengan suatu kumpulan yang memohon syufaat terhadap kesalahan yang dilakukan terhadap Allah, sesungguhnya orang yang terdahulu daripada kamu binasa disebabkan mereka apabila seseorang bangsawan di antara mereka mencari, maka dia dibiarkan tanpa dihukum, tetapi apabila orang yang lemah melakukannya, maka ia dikenakan hukuman keatasnya. Demi Allah, kiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, maka aku akan potong tangannya.
Para sahabat di zaman pemerintahan Khalifah Saidina Abu Bakar al- Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Uthman ibn Affan melaksanakan keadilan seperti ini secara yang paling sempurna. Saidina Umar al-Khattab pernah menekankan kepada para sahabat, katanya, yang kuat di antara kamu adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak daripadanya dan yang lemah di antara kamu adalah kuat sehingga aku pulangkan hak kepadanya, Beliau telah melaksanakan kata-katanya itu dengan sepenuhnya kerana merasa khuatir sekiranya keluarganya melebih-lebihkan diri mereka ke atas orang ramai disebabkan hubungan dengannya. Apabila beliau mengeluarkan sesuatu arahan atau membuat sesuatu larangan, maka beliau memanggil anak-anaknya sambil berkata kepada mereka, aku telah mengeluarkan kepada, orang ramai hari ini sekian, demi Allah kalau aku dapati kamu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan arahan itu, maka aku akan lipat gandakan hukuman ke atas sesiapa di antara kamu yang melakukannya. Beliau juga pernah berkata kepada Abu Musa al-Ashaari sewaktu melantiknya sebagai seorang Kadi, katanya, hendaklah kamu samaratakan di antara yang menuduh dan yang dituduh di dalam majlis engkau dan juga di dalam masa kamu menerima kedua- duanya.
Pernah diriwayatkan tentang sikap Saidina Umar di dalam melayani orang ramai secara sama rata di hadapan undang-undang. Antaranya diceritakan bahawa salah seorang amir dari keturunan Ghassan semasa melakukan tawafdi Baitullah, maka salah seorang pemuda dari suku Fazzarah telah terpijak jubah yang dipakai oleh amir itu. Amir itu telah bertindak memukul pemuda itu sehingga berdarah hidungnya lalu pemuda itu mengadu kepada Saidina Umar dan Amir itu juga mengadu hal yang sama kepadanya. Beliau lalu berkata kepada Amir itu, pemuda itu berhak bertindak balas ke atas kamu, ataupun dia memaafkan kamu, maka kata Amir itu, bagaimana boleh berlaku demikian, saya seorang bangsawan sedangkan dia adalah seorang biasa. Maka Saidina Umar berkata, sesungguhnya agama Islam telah menyamaratakan antara kamu berdua, kamu tidak melebihinya melainkan dengan sifat takwa sahaja. Mendengar jawapan itu, maka si Amir tadi cuba memujuk pemuda itu tetapi ia enggan mengampunkannya, malah menuntut memukul balas. Oleh sebab Amir itu yakin bahawa Saidina Umar akan membiarkan pemuda itu bertindak balas terhadapnya, maka amir itu pun melarikan dirinya ke negeri Rom dan seterusnya keluar dari agama Islam. Peristiwa tersebut tidak sedikit pun menyedihkan Saidina Umar kerana adalah lebih baik bagi agama Islam sekiranya ada beberapa ribu orang yang tidak tebal imannya keluar dari agama Islam daripada ia mengakui di atas sesuatu kezaliman atau memandang ringan terhadap sesuatu kezaliman yang dilakukan. Kezaliman akan menjauhkan orang yang benar, sebaliknya keadilan pula akan mendekatkan mereka yang mempunyai jiwa yang suci yang sentiasa menuju ke arah kebenaran. Mereka ini biar betapa kecil pun bilangan mereka adalah lebih baik dan lebih memberi kesan.
Agama Islam tidak sahaja menyamaratakan antara yang kuat dengan yang lemah di dalam menghadapi hukuman, malah ia mengambil suatu sikap yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana peraturan pun, mahupun pada hari ini, iaitu ia mengukur besar kecilnya sesuatu kesalahan itu mengikut orang yang melakukannya. Hukuman dijatuhkan selaras dengan kesalahan, maka dengan itu hukuman hendaklah dijatuhkan setimpal dengan kedudukan orang yang melakukan kesalahan itu. Perkara ini jelas sekali daripada hukuman yang dikenakan ke atas seseorang hamba dengan hukuman yang dikenakan ke atas seseorang yang merdeka. Seorang hamba hanya dikenakan separuh sahaja dari hukuman yang dikenakan ke atas seorang yang merdeka. Maka itu seseorang. yang merdeka melakukan kesalahan zina, ia disebat sebanyak 100 rotan dan seorang hamba yang melakukan kesalahan yang sama hanya dikenakan sebanyak 50 rotan; seorang merdeka yang meminum arak dikenakan sebat sebanyak 80 rotan, manakala seorang hamba hanya dikenakan sebanyak 40 rotan sahaja. Begitu juga kedudukannya di antara seorang amah (jariah) dengan seorang wanita yang merdeka, hukumannya hanya separuh sahaja dari yang dikenakan ke atas wanita yang merdeka.
Sebaliknya, undang-undang Roman (Romawi) berbeza sekali dengan apa yang dilaksanakan menurut agama Islam. Seorang hamba yang melakukan kesalahan zina dijatuhkan hukuman mati tetapi seorang anggota majlis senat yang melakukan kesalahan yang sama hanya dikenakan denda dengan wang sahaja. Undang-undang Roman tersebut adalah undang-undang zalim yang tidak terdapat unsur-unsur keadilan di dalamnya, manakala hukuman Islam pula mencerminkan keadilan yang sebenar. Ini kerana kesalahan itu sendiri merupakan penghinaan ke atas diri orang yang melakukannya. Seorang hamba sememangnya seorang yang sudah hina, kerana ia dimiliki oleh orang lain, jadi sudah tentu seorang yang hina mudah melakukan sesuatu yang hina dan orang yang rendah kedudukannya selalu menuju ke arah melakukan kesalahan-kesalahan. Sebaliknya, seseorang yang tinggi kedudukannya tidak terdapat kehinaan pada dirinya, jadi dengan melakukan sesuatu kesalahan, maka orang itu telah mencemar serta merendahkan kedudukannya mengikut kesalahan yang dilakukan itu. Jadi kesalahannya itu lebih besar bahaya dan kesannya lebih menimbulkan keburukan di dalam jiwa individu serta masyarakat. Tidak syak lagi kalau seseorang yang mempunyai kedudukan melakukan kesalahan zina, maka perbuatan itu akan menggalakkan orang yang lebih rendah kedudukannya melakukan kesalahan itu. Manakala kesalahan yang dilakukan oleh orang biasa tidak akan mendorong orang lain untuk melakukannya. Maka dengan sebab itulah agama Islam membesarkan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan berikutnya hukuman yang dikenakan ke atasnya adalah lebih besar selaras dengan kedudukannya itu.
Demikianlah dapat kita lihat keagungan penyusunan undang-undang Islam yang tidak dapat ditandingi oleh mana-manapun undang-undang sekarang ini. Kebanyakan undang-undang, walaupun berjalan di atas dasar persamaaan yang tidak melebih-lebihkan mana-mana pihak, tetapi dalam pelaksanaannya akan bertindak untuk meringankan kesalahan yang dilakukan oleh golongan yang mempunyai kedudukan dan sebaliknya membesarkan kesalahan yang dilakukan oleh golongan yang tidak mempunyai kedudukan dalam masyarakat.
Kebanyakan undang-undang yang berjalan sekarang ini tidak menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan yang dilakukan oleh "ketua negara", Ini kerana ketua negara itu tidak sepatutnya akan melakukan kesalahan. Undang- undang ciptaan manusia sehingga kini menganggap peribadi ketua negara sebagai peribadi yang terlindung dan tidak boleh disentuh, di samping mendewa- dewakannya sehingga seolah-olah mereka itu dari golongan yang suci. Ungkapan-ungkapan yang dilahirkan oleh sesetengah para hakim dan penolong pendakwa raya membayangkan bahawa ketua-ketua negara itu sebagai peribadi yang suci dan tidak boleh disentuh. Realitinya, walaupun corak pemerintahan beraja mulai terhapus, tetapi kesannya masih ada, kerana peribadi ketua negara masih lagi disalut oleh pandangan tadi.
Agama Islam tidak mengenal semua ini dan para ulama fikah bersependapat bahawa gabenor-gabenor dan juga pemerintah tertinggi (imam) akan menghadapi perbicaraan dan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukannya seperti yang dikenakan ke atas orang lain tanpa sebarang pengecualian. Sekiranya ia melakukan kesalahan membunuh maka ia boleh dihukum bunuh balas dan kadi berhak memerintahkan supaya harta itu dirampas daripadanya. Ini menunjukkan tidak wujud sebarang perbezaan di antara pemerintah yang tertinggi, iaitu Khalifah, dengan orang ramai di dalam menghadapi perbicaraan dan hukuman kalau ia melakukan sesuatu kesalahan. Jawatan dan kedudukan yang disandangnya itu tidak boleh mengecualikan atau memberikan keistimewaan kepadanya terhadap perbicaraan dan kesalahan yang dilakukan.

Ini merupakan pandangan mengenai keadilan undang-undang dan hukuman-hukuman di dalam Islam, iaitu keadilan yang tidak mengenai sebarang perbezaan di antara penganut berbagai-bagai agama. Orang bukan Islam yang hidup dalam masyarakat Islam juga dikenakan hukuman-hukuman yang dijalankan ke atas orang-orang Islam tanpa sebarang perbezaan antara mereka dalam apa bentuk sekalipun kecuali dalam perkara-perkara yang berhubung dengan hal ehwal perseorangan mereka seperti perkahwinan dan perceraian, hukuman adalah dijatuhkan berdasarkan kepada peraturan agama yang dianuti mereka. Ini kerana terdapat dua perkara yang membentuk perhubungan antara mereka dengan orang Islam. Pertama, mereka mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dengan hak dan tanggungjawab orang Islam. Ini menyebabkan mereka berhak dikenakan hukuman di dalam soal-soal kira bicara dan keadilan seperti yang dikenakan ke atas orang Islam tanpa sebarang perbezaan. Keduanya, orang Islam diperintahkan supaya membiarkan orang bukan Islam dengan agama mereka dan tidak harus bagi orang Islam menyentuh soal-soal ibadat, perkahwinan dan perceraian mereka, kerana peraturan-peraturan ini adalah dipetik dari agama mereka. Jadi untuk memelihara kebebasan beragama, maka mereka hendaklah dibiarkan menjalankan sendiri soal-soal yang berhubung dengan hal-hal tadi.

No comments:

Post a Comment